Monday, September 05, 2005

THE BEGINNING…


“Menulis itu resah yang bahagia, duka yang indah”

ITU kata-kata aku petik daripada Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said - antara penulis yang paling aku hormati. Aku kini berkerjaya sebagai wartawan di sebuah akhbar harian tempatan. Kerjaya yang tak termasuk langsung dalam senarai semasa aku bersekolah dulu.

Aku sebenarnya bercita-cita nak jadi kartunis sebab syok sangat apabila membaca majalah Gila-Gila dan Gelihati sekitar lewat 80-an hingga pertengahan 90-an. Lagipun aku ada talent yang Allah swt kurniakan. Aku terpengaruh betul dengan kartunis tempatan seperti Datuk Lat, Ujang, Gayour, Scorpyan, Adeputra, Nen dan Yo.

Sewaktu zaman sekolah, aku memang aktif melukis kartun. Kerap juga ia tersiar di Gila-Gila dan Gelihati. Dapatlah sedikit saguhati dan yang paling penting ialah rasa bangga apabila karya itu disiarkan. Itu buat aku jadi makin bersemangat.

Semangat itu juga memberanikan aku turun ke pejabat Gila-Gila di Kuala Lumpur. Aku berjumpa dengan arwah Rejabhad (Pak Jab) dan dia banyak bagi galakan pada aku. Tak kurang juga kartunis lain di Gila-Gila seperti Kid dan Nuds. Aku juga pernah menjaja karya ke majalah Ujang, tapi Gayour gelakkan lukisan aku! Ceh! Takpe, itu cabaran namanya. Malah, Ujang sendiri tak mahu berjumpa dengan aku dengan alasan sibuk. Heh.. heh.. takpe, aku faham.

Minat untuk menulis memang ada, tapi bakat itu tak dikembangkan sebenarnya. Cahaya dalam bidang penulisan aku temui semasa bekerja sebagai wartawan muzik di majalah ROTTW – di situlah aku mengasah bakat dan mengembangkan minat dalam bidang penulisan. Hmm… thanks abang Rom!

Tak kisahlah kini aku bukan kartunis sepenuh masa. Tapi sekurang-kurangnya aku masih dalam bidang seni dan kreatif. Menulis juga adalah seni walaupun menghasilkan rencana untuk akhbar.

Jadi kartunis boleh, tapi buat part-time je. Yang penting habis sekolah dan sambung belajar lagi,” itu pesan arwah abah yang aku turuti. Dan, nampaknya abah memang betul…

No comments: