SAJA nak cerita pasal ‘a must have album’ (local) yang terhasil daripada jiwa dan pandangan aku. Ini pendapat peribadi aku saja dan kalau korang tak setuju, aku pun tak kisah. Ini bukan reviu secara teknikal, tetapi lebih kepada pengalaman aku dan sedikit kisah di sebalik album ini yang mungkin ada yang tak tau.
Ini adalah antara album-album yang aku tak jemu dengar berulang-ulang sama ada kat rumah, ofis, dalam kereta atau aku menyanyi sendiri lagu-lagunya. Ada di antaranya aku dah beli dua tiga kali. Mula-mula dulu dalam format kaset, lepas tu banyak yang hilang (kena rembat, orang pinjam tak pulangkan balik, tertinggal dalam kereta orang… bla..bla) dan aku beli balik. Sekarang ada yang keluar balik dalam format CD, aku beli dan kumpul balik album tu.
Err… sori kalau panjang berjela… heheh.
ALBUM :
Karisma
ARTIS :
Search
TERBITAN / EDARAN :
Go Search / BMGTAHUN :
1990TRACK LIST :
Melastik Ke Bintang, Melayar Bahtera, Orang Timur, Dunia Milik Kita, Emanuelle, Memandu Nafsu, Teguh, Manusia Reptilia, Paranoid, Orait Mama & Sutera Atau Rayon.
MULA-mula biarlah aku cerita sikit kisah di sebalik pembikinan album ini. Realitinya album ini tidak mencatat jualan memberangsangkan sebagaimana ‘Fenomena’ sebelum itu. Peminat pula digembar-gemburkan dengan rakaman yang dijalankan di sebuah studio baru yang canggih ketika itu iaitu Synchro Sound di Kuching, Sarawak. Kononnya album ini membawa idea baru untuk memperbaiki rakaman dan gubahan muzik mereka. Namun, semua itu adalah sebaliknya.
Proses rakaman ‘Karisma’ adalah satu tekanan sebenarnya. Bahang perpecahan sudah berlaku di dalam Search apabila Amy mengambil keputusan merakamkan album solo dan ia membengangkan Yazit.
Studio di Kuching itu pula indah khabar dari rupa. Jurutera rakamannya tidak mempunyai cukup pengalaman dalam studio dan diragukan kemahirannya. Jadi, mereka terpaksa menerima apa seadanya. Sebenarnya rakaman di Studio King di PJ jauh lebih baik.
Itu cerita yang aku petik daripada tulisan M Nasir dalam kolum Denting Dengung yang pernah disiarkan dalam akhbar Berita Minggu awal 2000 dulu.
Apa saja ceritanya, bagi aku ini adalah album terbaik Search. Mungkin bukan dari segi teknikal, tapi dari segi gubahan muzik terutama kombinasi Kid dan Din yang mula menunjukkan keserasian. Aku rasa seperti Kid betul-betul all out dalam guitar work-nya.
Search juga membawa ‘Karisma’ bergerak jauh dari landasan muzik mereka sebagaimana dalam ‘Fenomena’ dan ‘Mentari Merah Di Ufuk Timur’. Dalam erti kata lain, ‘Karisma’ cukup advanced bagi muzik rock pada lewat 80-an dan awal 90-an dulu.
Kelainan dalam ‘Karisma’ ialah dari segi riff terutama menerusi lagu “Dunia Milik Kita”, “Memandu Nafsu”, “Manusia Reptilia” dan “Paranoid”. Berbanding album-album sebelum ini, riff dalam album ini lebih dinamik dan bervariasi. Aku tak sure siapa mastermind nya, tapi aku dapat rasakan orang itu ialah Din (sekarang aku cukup frust bila Din quit dari Search. Dia ni ‘something’ dalam Search. Rugi dia takde). Kid pulak mempamerkan solo berhantunya dalam lagu “Sutera atau Rayon”. Selain “Isabella”, bagi aku lagu ini adalah solo terbaik Kid.
ALBUM : Gamal
ARTIS : Zainal Abidin
TERBITAN /EDARAN : RAP / WEA
TAHUN : 1994
TRACK LIST : Bongkar, Sabar, Entahlah, Paus, Randy’s Song, Tua, Pantun?, Garam, Khayalan, Damai XIII, Jiwa & Gamal.
AKU beli kaset ini pada 1994 sebaik ia dipasarkan. Dalam tahun 2000 dan 2001, aku jumpa CD ini di Music Exchange, Jalan Walter Grenier (sekarang dah pindah ke Yow Chuan) dengan harga RM15 saja. Tak lama lepas tu aku jumpa kaset ‘Gamal’ dijual longgok di Jusco 1 Utama. Harganya RM1 saja!
Kenapa? Album ni tak laku sebenarnya. Walaupun meletup dengan album ‘Hijau’ yang menjadikan Zainal sebagai ikon baru muzik dan juga trend setter dalam fesyen, tetapi ‘Gamal’ tak dapat diterima peminat yang sebelum itu gilakan lagu “Hijau”, “Manis”, “Inayah” dan “Ikhlas Tapi Jauh”.
Gubahan lagu-lagu dalam ‘Gamal’ sebenarnya cukup mantap dan jauh ke depan. Apatah lagi kebanyakan lagunya digubah oleh pemuzik hebat seperti Zahid Ahmad (dram), Mac Chew ( keyboards), Steve Thornton (percussions), Randy Bernsen (gitar), Fauzi Marzuki (gitar), Armand Sabal-Lecco (bass), Jenny Chin (keyboards), Mohar (seruling) dan Sam (sitar). Sayangnya album itu tak boleh diterima peminat mainstream. Kata Zainal, album ini terlalu advanced berbanding pada era itu.
Tak taulah, tapi pada aku album ini cukup hebat jika dinilai dari segi muzik. Packaging nya yang menggunakan kertas kitar semula sudah cukup menarik. Cuma imej Zainal sebagai lelaki Penan bagi aku agak over sikit sebab imej dia semasa album ‘Hijau’ sudah cukup menarik dan berjaya menjadi trend.
Oh ya! Lagu “Pantun” ada dalam soundtrack filem Cinta.
ALBUM : Fenomena
ARTIS : Search
TERBITAN / EDARAN : Go Search / PMC
TAHUN : 1989
TRACK LIST (CD format) : Fenomena, Purnama, Isabella, Derap Komando, Ku Taklukkan Dunia, Menara Kesesatan, Bencana, Pawana, Songsang, Gadis Misteri, Mencari (Instrumental) & Malam (cover version M Nasir)
‘FENOMENA’ betul-betul mencetus fenomena dengan lagu sensasinya, “Isabella”. Sampai hari ini, album ini adalah teman wajib aku dalam kereta. Tapi, aku sebenarnya tak berapa suka dengan “Isabella” kerana “Gadis Misteri” dan “Ku Taklukkan Dunia” pada aku lebih berhantu.
Lagu heavy seperti “Menara Kesesatan”, “Bencana” dan “Pawana” menjadi anthem bagi album ini dan ia adalah lagu-lagu wajib dalam persembahan Search sekarang. Kelahirannya pada 1989 kelihatan melangkau trend muzik rock waktu itu. Itu istimewanya Search kerana setiap album mereka berbeza dan tidak sama dengan album sebelumnya.
Album ini membawa Search ke tahap populariti yang amat tinggi dan mereka juga meletup di Indonesia. Amy yang digelar Kak Amy di Indonesia, pergi ke sana bukan hanya sebagai penyanyi dari kumpulan yang menjual 700,000 kaset dan menjadi sebutan di bibir rakyat Indonesia tapi juga sebagai pelakon dalam filemnya, Isabella.
Selain itu, album ini meletup bukan setakat lagu-lagunya, tetapi kerana peminat terlalu lama menantikan album ini berikutan kes mahkamah dengan Polygram yang membantutkan penerbitan album Search.
Sebahagian besar album dirakamkan di Studio Gins, Jakarta. Ceritanya rakaman di Jakarta membawa banyak tekanan kepada Search. Kononnya studio berkenaan adalah antara yang terbaik di Jakarta, tetapi mereka gagal mendapatkan jururakam yang mahir dengan sound rock yang mereka mahukan. Mungkin aliran muzik Search ketika itu belum lagi menjadi trend di Indonesia.
Orang di sana tidak faham dengan apa yang Search mahukan. Malah, Search juga dikatakan pergi ke Jakarta dalam keadaan tidak bersedia. Justeru, ia menjadikan proses mencari lagu baru satu tekanan buat mereka sehingga menimbulkan pergaduhan. Kemuncak dan punca pengunduran Hillary dari Search khabarnya bermula di Jakarta selepas bergaduh dengan Yazit.
Mereka terpaksa menyambung rakaman di King Studio, PJ dan apa yang dirakam di Jakarta, semuanya terpaksa diperbaiki. Hillary juga sudah tidak bersama Search dan Kid diambil melalui proses misteri dari Gersang.
Siapa sangka album yang tension mereka nak menyiapkannya ini akhirnya meletup gila-gila. Aku dulu tak terfikir pun problem diorang tu…
ALBUM : Solo
ARTIS : M Nasir
TERBITAN /EDARAN : PMC
TAHUN : 1989
TRACK LIST : Tari Cinta Rimba Mistikal, Mustika, Rajawali Terbang Tinggi, Yang Bertakhta Akhirnya, Demi Masa, Semakin Nyata, Seloka Jegela Melayu, Padang Lalang, Sayembara Hidup, Biarkan Luncai Terjun dan Falsafah Cinta (duet dengan Rahim Maarof)
RAMAI yang berpendapat ‘Phoenix Bangkit’ dan ‘Canggung Mendonan’ adalah album solo terbaik M Nasir. Tapi bagi aku, album ‘Solo’ ini yang aku lebih suka. Dari segi gubahan muzik, ia mungkin tidak sehebat ‘Phoenix Bangkit’, tetapi ‘Solo’ sebenarnya ada sesuatu yang buat aku tertarik.
Album ini dinanti-nanti sebab ia boleh dikira sebagai album solo pertama M Nasir selepas dia popular bersama Kembara. Tapi M Nasir sebenarnya memang dah ada album solo masa dia mula-mula jadi penyanyi dulu, tak salah aku tajuknya ‘Untuk Pencinta Seni’ yang dirakam pada penghujung 70-an. Nama yang diguna pun lain, iaitu Mohammad MN. Bagaimanapun, album tu tak ke mana dan tak ramai yang kenal dengan M Nasir.
‘Solo’ dilihat sebagai percubaan awal dan serius M Nasir untuk memartabatkan muzik berunsur kemelayuan (tak tau la sekarang ni dia berjaya atau tak… heheh). M Nasir yang sebelum itu memang sinonim dengan penerbitan album-album rock, turut memasukkan sedikit elemen itu dalam ‘Solo’ dan diadunkan dengan unsur folk dan tradisional. Ini termasuk lirik bertema keislaman (“Demi Masa”), kemanusian, sosial dan bangsa Melayu. Dan, lagu hit album ini, “Mustika” dilabelkan sebagai muzik Nusantara.
Aku beli kaset ni masa aku Form 3 tahun 1989. Masa kat ITM antara 1995 hingga 1998, kaset ni hilang kena rembat dengan kutu mana tah! Dah kerja, aku jumpa balik kaset ni kat satu flea market, RM5 je! Aku try jugak cari kot-kot diorang released balik dalam format CD, tapi tak pernah jumpa. Memang takde kot.
Sejak dulu, kalau tengok pada inlay album artis solo, aku suka tengok line-up pemuziknya. Dalam album ni, M Nasir gunakan khidmat Yazit Search dan Amry Ariwatan untuk dram, Zulkifli Mahat ( keyboard), Eddie Marzuki ex gitaris Flybaits (gitar akustik), Maniam (percussions & bongo) dan Benny Arjuna (harmonica).
Tetapi pada posisi gitar dan bass diletakkan tanda soal (?). Padahal itu yang aku nak tau sangat! Dengar pada sound macam Hillary Ang, tapi aku tak sure sebab masa tu tak tau nak tanya kat sapa. Akhirnya pada 2000 baru aku dapat jawapannya selepas berpeluang bekerja dalam industri muzik.
“Aku main lapan lagu dalam album tu,” Hillary Ang sendiri yang jawab persoalan tu. Peluang bersemuka dengan Hillary selepas ditugaskan untuk mempromote album Cromok masa tu tak aku lepaskan. So, itu le antara soalan yang aku tanya dia selain kenapa dia keluar dari Search. Tiga lagu lagi mungkin dimainkan oleh Eddie Marzuki dan Jay Jay bermain bass untuk semua lagu. Kenapa diletakkan tanda soal dan bukannya nama diorang tak pulak aku tau.
P/S : Banyak lagi album sebenarnya, tapi jenuh la nak tulis semua. Hehehe.. Oh ya, AKU DAH 44 HARI TAK HISAP ROKOK. YEAHHHH!!