Monday, September 12, 2005

'KIDALISME'?



PELIK ke jadi orang kidal? Aku patut bertanya pasal aku dilahirkan sebagai orang kidal.

“Eay, eay! Dia tulis pakai tangan kiri la!”

“Haip! Orang bagi barang tu apasal ambik dengan tangan kiri?”

“Eeiiiii! Apasal dia makan pakai tangan kiri?”

Hmmm… Ayat-ayat di atas ni memang aku dah lali sejak kecik. Aku rasa korang yang ‘sekidal’ dengan aku pun alami perkara yang sama jugak, kan? Wahai sahabat ‘sekidal’ sekalian, korang tak rasa ke ada diskriminasi terhadap orang kidal ni?

Seluruh masyarakat seolah-olah sudah sebati dengan tanggapan bahawa kanan lebih baik daripada kiri. Kiri lebih dikaitkan dengan perkara yang tidak mengikuti kepercayaan konvensional. Semua ini berpunca daripada tanggapan tradisi bahawa kiri menggambarkan penentangan, kelemahan dan kesalahan.

Kalau tidak, kenapa ada parti berhaluan kiri? Dalam organisasi pula, ada jawatan dipanggil Pegawai Kanan, Eksekutif Kanan… tapi ada ke Eksekutif Kiri? Pelik pulak bunyinya.
Hampir seluruh masyarakat memang prejudis terhadap penggunaan tangan kiri. Lihat saja reaksi orang apabila anda memberikan sesuatu kepadanya dengan tangan kiri. Manakala amalan makan dengan tangan kiri memang ditolak bulat-bulat oleh semua kaum!

Paling menyakitkan hati bila ada yang memandang rendah dengan berkata begini :

“Eeeee… kau ni guna tangan t**k la!” Semua orang sedia maklum kita membasuh selepas melepaskan hajat menggunakan tangan kiri. Hmmm… apa nak buat.

Sebenarnya tak ramai yang peduli dengan dilema orang kidal yang terpaksa berdepan kehidupan harian yang didominasi oleh masyarakat majoriti yang menggunakan tangan kanan. Barang-barang kebanyakan dicipta untuk golongan tangan kanan.

Paling ketara sekali gitar. Kalau korang ni kidal, memang payah sangat nak belajar gitar sebab gitar memang dicipta khusus untuk orang bertangan kanan. Kalau nak main jugak, kena la guna kord terbalik macamana yg dibuat oleh Man Kidal, Joe Wings, Kurt Kobain dan Jimi Hendrix.

Aku ni memang kidal 100 peratus. Baik tangan mahu pun kaki! Aku akan baling, tumbuk, pukul, cubit, makan (kalau guna sudu), tulis, lukis menggunakan tangan kidal. Begitu jugak kalau nak menyepak atau menendang! Semuanya kidal! Tapi ada jugak orang yang hanya menggunakan tangan kidal semasa menulis saja, tetapi menggunakan tangan kanan jika melakukan perkara lain. Hah! Ni bukan pure kidal…

Paling problem kalau jadi tekong masa main takraw! Kebiasaannya balingan akan dibuat oleh killer (apit kanan), tetapi tekong kidal tukang balingnya adalah feeder (apit kiri). Selalunya diorang mesti lupa, mesti si killer jugak yang nak baling kat aku!! Confuse betul diorang!!

Apapun aku bangga dilahirkan sebagai kidal, walaupun kadang-kadang terasa macam orang cacat je. Ye lah, kadang-kadang kita mudah mendapat perhatian. Selalu sangat kalau orang pertama kali tengok aku menulis, mesti kata “Waa… You ni lefthanded ye?” Hmm.. macam pelik sangat.

Selalu jugak aku dengar orang cakap orang kidal ni lebih kreatif. Tulisan mereka selalunya lebih cantik. Malah orang kidal dikatakan lebih cerdik dan jugak mati cepat! Hmm… tak taulah. Ada betul dan tak betulnya. Paling tepat ia mungkin secara kebetulan.

Menurut saintis, apabila otak kiri dominan, ia akan mengawal fungsi badan sebelah kanan. Akibatnya anggota sebelah kanan lebih berkembang dan aktif. Pada mereka yang kidal, perkara sebaliknya berlaku. Otak kanan yang mengaktifkan setiap anggota sebelah kiri. Itu saja!

Oh ya… ramai jugak orang terkenal di dunia ni kidal ye? Antaranya Albert Einstein, Leonardo Da Vinci, Michaelangelo, Presiden Cuba Fidel Castro, Kurt Cobain, Phil Collins dan Jimi Hendrix. Hmm… kat Malaysia kita ada Man Kidal, Joe Wings… heheh.

PALING AKU BANGGA SEBAB MAK AKU PUN KIDAL JUGAK! I LUV U MAK…


-Maklumat tambahan daripada akhbar Mingguan Malaysia & majalah Mastika -

Thursday, September 08, 2005

AN EVENING IN ZOO NEGARA... HEHEH!

PEGI zoo? Entah kenapa orang KL ni skeptikal sangat kalau kita cakap nak pegi zoo di era millennium dan glokal ni. Kononnya zoo tempat tak happening dan kekampungan. Hmm... entah le, tapi aku suka pegi zoo!

So, masa weekend terakhir cuti sekolah hari tu aku bawak le orang rumah ngan anak dara aku pegi tempat binatang yang terletak betul-betul kat sebelah Kompleks Finas dan Kampung Kemensah, Hulu Klang tu. Walaupun ramai yang rasa kelakar bila cakap nak pegi zoo, tapi aku tengok zoo penuh sesak jugak. Jenuh jugak le nak cari parking.

Orang rumah aku cakap dia last pegi zoo masa dia Form 5 (sekarang umur dia dah 28 tahun). Aku dah pegi last year sebab buat story untuk Zoo Malam. Pada aku zoo malam lagi best sebab binatang lebih aktif waktu malam. So, macam-macam aktiviti kita boleh tengok!

Kitorang tak naik tren pun kat dalam tu, jalan kaki je. Anak aku cukup suka dengan burung Flamengo yang dipanggilnya 'Kakai' (apa benda aku pun tak tau le), harimau (dia bunyikan meow meow sebab ingatkan kucing), unta dan cimpanzee. Dia sikit pun tak takut! Ada sorang budak kecik tu aku tengok meraung-raung bila bapaknya nak bawak dekat pada unta. Anak aku cool je... "Kakai, kakai," tu je la yang disebutnya.

Sebenarnya kitorang tak sempat round habis pasal hari nak hujan. So, terpaksa balik cepat takut kain yang dijemur tak sempat angkat! Heh heh heh...

Apapun pada aku Zoo Negara tetap ada kelebihannya. Mungkin ada sesetengah binatang tu kurus, poyo dan cam hampeh je, tapi sekurang-kurangnya aku terhibur dengan melihat binatang.

Aku suka tengok hippo... tapi tak sempat lak! Masa cover untuk zoo malam dulu sempat la bagi hippo tu makan ubi keledek. Mak datuk! Punya la besor dia nganga!!

Layan la gambar kat bawah ni...


Binatang favourite aku. Nampak ganas, brutal dan seperti tak berperikebinatangan! (Betul ke?). Err... badak sumbu ni nenek moyang dia bukan dinosaur Triceratops tu ke?



SAVANA WALK... Cantik scenery ni. Macam betul-betul kat Afrika je. Macam tak caya kat sebelah pagar tu ialah Kampung Kemensah, Hulu Klang dan ada banyak rumah orang! Heheh...



Kelakar Orang Utan ni! Aku ambik gambar dibantainya tutup muka! Muka poyo je siap kunyah plastik. Hissh! Sapa la yang humban plastik kat dalam kandang dia tu...



Ni antara dua daripada tiga ekor gajah kat zoo tu. Aku tak sure yang mana satu nama Siti (apa la relevannya diorang taruh nama ni?), tapi diorang memang lahir kat zoo ni. Mamat India yang kat belakang tu trainer gajah tu. Dah lebih 30 tahun beb buat kerja ni! Dia panggil gajah tu macam panggil kucing je. Suruh makan diorang makan, suruh mandi diorang mandi, suruh duduk diorang duduk.

Monday, September 05, 2005

BUBUH JE

HMMM... AKU SEBENARNYA TAK TAU NAK TULIS APA KAT BLOG AKU NI. TENGOK BLOG ORANG LAIN, PEH! DIORANG TULIS SEMUA GEMPAK-GEMPAK! AKU INGAT NAK BUAT BLOG AKU NI JADI CAPTION STORY JE LA. HEHEH...

Hah! Hah! Hah! As usual la kan. Orang semua ambik gambar KLCC, aku pun tumpang sekaki la! Kata orang, tak lengkap duduk di KL kalau tak ambik gambar kat KLCC atau ambik gambar KLCC tu. Betul ke? Dulu kalau tak pegi zoo ke, muzium ke... tak sah kan? Zaman berubah...



Ni orang rumah aku, heheh. Dia suka sangat gambar ni. Cantik dan classy katanya. Aku tak tau la kan, dia yang kata, bukan aku. Hnsh! Hnsh! Hnsh! Gambar ni ada kat dalam blog dia. Cari la!



Ekekekeke... Ni la 'anak dara' aku! Ish! Ish! Ish! Comotnya! Dia ni die hard fan coklat la! Tu yang jadik macam tu bila aku dengan rela hati membenarkan dia melanyak coklat simpanan kami! Mata terbeliak tu sebab terkejut tengok flash kamera. Kekekeke...



Ni gambar sculpture karya Raja Shahriman tak salah aku. Aku ambik kat Balai Seni Lukis Negara. Best... nampak brutal, ganas... tapi kreatif.

THE BEGINNING…


“Menulis itu resah yang bahagia, duka yang indah”

ITU kata-kata aku petik daripada Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said - antara penulis yang paling aku hormati. Aku kini berkerjaya sebagai wartawan di sebuah akhbar harian tempatan. Kerjaya yang tak termasuk langsung dalam senarai semasa aku bersekolah dulu.

Aku sebenarnya bercita-cita nak jadi kartunis sebab syok sangat apabila membaca majalah Gila-Gila dan Gelihati sekitar lewat 80-an hingga pertengahan 90-an. Lagipun aku ada talent yang Allah swt kurniakan. Aku terpengaruh betul dengan kartunis tempatan seperti Datuk Lat, Ujang, Gayour, Scorpyan, Adeputra, Nen dan Yo.

Sewaktu zaman sekolah, aku memang aktif melukis kartun. Kerap juga ia tersiar di Gila-Gila dan Gelihati. Dapatlah sedikit saguhati dan yang paling penting ialah rasa bangga apabila karya itu disiarkan. Itu buat aku jadi makin bersemangat.

Semangat itu juga memberanikan aku turun ke pejabat Gila-Gila di Kuala Lumpur. Aku berjumpa dengan arwah Rejabhad (Pak Jab) dan dia banyak bagi galakan pada aku. Tak kurang juga kartunis lain di Gila-Gila seperti Kid dan Nuds. Aku juga pernah menjaja karya ke majalah Ujang, tapi Gayour gelakkan lukisan aku! Ceh! Takpe, itu cabaran namanya. Malah, Ujang sendiri tak mahu berjumpa dengan aku dengan alasan sibuk. Heh.. heh.. takpe, aku faham.

Minat untuk menulis memang ada, tapi bakat itu tak dikembangkan sebenarnya. Cahaya dalam bidang penulisan aku temui semasa bekerja sebagai wartawan muzik di majalah ROTTW – di situlah aku mengasah bakat dan mengembangkan minat dalam bidang penulisan. Hmm… thanks abang Rom!

Tak kisahlah kini aku bukan kartunis sepenuh masa. Tapi sekurang-kurangnya aku masih dalam bidang seni dan kreatif. Menulis juga adalah seni walaupun menghasilkan rencana untuk akhbar.

“Jadi kartunis boleh, tapi buat part-time je. Yang penting habis sekolah dan sambung belajar lagi,” itu pesan arwah abah yang aku turuti. Dan, nampaknya abah memang betul…